Artikel sumbangan MOHD AZRONE SARABATIN
“Sampaikan salam saya kepada masyarakat Iranun di Sabah,”.
Itu ungkapan Imam Masjid Tacloban, Pulau Leyte, Filipina, Modal Lamai berusia awal 60 tahun ketika bertemu penulis di sebuah masjid serba daif di pulau itu pada Mac 2014.
Modal yang berbangsa Iranun kebetulan berada di masjid berkenaan dan amat gembira berjumpa dengan penulis apatah lagi selepas dimaklumkan di Sabah pun ramai kaum Iranun.
Menurut Lamai, masyarakat Islam di Tacloban adalah minoriti iaitu sekitar 1,000 orang ketika itu dengan majoritinya berbangsa Iranun manakala selebihnya Suluk dan Visaya.
Katanya, masyarakat Iranun turut terjejas dengan taufan Haiyan membadai Filipina yang dilaporkan mengorbankan lebih 10,000 rakyatnya pada November 2013.

TERDAMPAR…Kapal besar terdampar di darat di Pulay Leyte kesan taufan Haiyan atau Yolanda ytang turut menempatkan masyarakat Iranun
Bagaimanapun katanya, jumlah etnik itu yang terkorban akibat taufan berkenaan tidak ramai dan belum ada staistik mengenainya ketika itu.
“Alhamdulillah, masyarakat Islam majoritinya terselamat ketika taufan ganas Yolanda (Haiyan) menggegarkan Pulau Leyte,” katanya yang boleh berbahasa Inggeris dengan baik.
Masyarakat dunia tidak tahu di Tacloban, Pulau Leyte ada sebuah masjid daif yang berperanan sebagai Pusat Islam untuk menempatkan mangsa beragama Islam ketika taufan Haiyan membadai Filiping.
Masjid berkenaan tidak berdinding bukan kerana diterbangkan angin tetapi berpunca ketiadaan sumber kewangan untuk menaiktarafnya demi keselesaan jemaah.
Penulis menyedari kewujudan Masjid Tacloban ketika melakukan tinjauan mangsa taufan Haiyan yang turut dikenali taufan Yolanda.
Itu pun selepas melihat papan tanda menggunakan papan lapis yang tertera perkataan ditulis menggunakan cat berbunyi ‘Tacloban Mosque’ dan ‘Islamic Center Victims’ yang merujuk kepada pusat Islam untuk menempatkan mangsa taufan.
Lantas penulis pun pergi ke masjid berkenaan dan Alhamdulillah dapat berjumpa dengan imam masjid berkenaan, Modal Lamai berbangsa Iranun dan terasa berada di daerah kelahiran, Kota Belud, Sabah.
Selang tiga tahun kemudian, masjid daif itu berganti dengan bangunan sempurna serta lebih kondusif untuk beribadah dan menjalankan kegiatan keagamaan.
Mengikut laporan https://www.dailysabah.com media berpangkalan di Turki bertarikh 7 Jun 2017, Masjid dan Pusat Islam Tacloban seluas 400 meter persegi di timur Filipina telah dibina oleh badan amal yang dikendalikan oleh pihak berkuasa Islam Turki untuk menggantikan masjid serba daif dan dibuka pada Jun tahun yang sama.

BEKAS PENSIL…Seni kraf Iranun dalam alat pencil case atau bekas pensil di pulau Leyte, Filipina.
Masjid dan Pusat Islam yang boleh menempatkan 350 jemaah dalam satu masa itu dibina Yayasan Diyanet Turki (TDV) dan turut dibiayai rakyat Turki.
Wakil TDV, Ahmet Oztürk, dilaporkan berkata, peringkat awal pihaknya dan badan amal Direktorat Hal Ehwal Islam Turki, datang ke Tacloban untuk membantu mangsa Taufan Yolanda.
Bagaimanapun, selepas melihat keperluan pembinaan masjid dan Pusat Islam, pihaknya mengumpul dana untuk membantu masyarakat Islam pulau itu.
“Sejak itu, kami telah berusaha memperbaiki dan memulihkan tempat ibadah yang rosak akibat bencana. Rakyat Turki turut bersama dengan saudara mereka di Filipina,” katanya.
TDV telah memperuntukkan sekitar A$1 juta (RM4.24 juta) untuk membina, menyelenggara, dan memperbaiki masjid di Filipina, termasuk tiga di timur Ormoc juga di Pulau Leyte.
Alhamdulillah, dalam runtuhan bangunan keadaan pupau bagaikan padang jarak padang tekukur, dapat juga bersua dengan masyarakat Iranun di Pulau Tacloban.