TIDAK dinafikan, selain kaya dengan adat dan budaya serta kesenian. Iranun juga memiliki kepelbagaian jenis makanan tradisional samada yang kering mahupun basah, termasuklah kuih muih beraneka rasa.
Bukan sahaja pelbagai, tetapi juga beberapa kuih tradisional Iranun turut memiliki keunikan tersendiri terutama dari segi pembuatannya.
Paling ketara adalah kuih Sikarang. Sikarang seperti yang diketahui sejenis kuih yang bukan sahaja keras, malah cara membuatnya pun unik dan untuk mempelajarinya memerlukan mental dan kesungguhan yang kuat.
Kenapa penulis katakan unik, kerana Sikarang tidak seperti kuih muih tradisional Iranun yang lain. Kuih ini tidak mempunyai acuannya seperti kuih-kuih lain, hanyalah menggunakan jari-jemari.
Bahan-bahan untuk membuat kuih Sikarang pula adalah sangat senang, hanya diperlukan Apug (Kapur), Tapung Aa Begas (Tepung Beras ) dan gula aising pula untuk dijadikan sebagai perasa.
Menurut satu sumber memberitahu, asal usul kuih sikarang ialah daripada kulit siput.
Pada zaman dulu, orang-orang Iranun mencari sumber makanan di sungai dan Siput merupakan salah satu makanan yang dicari. Mereka menghasilkan kuih Sikarang ini menggunakan kulit kerang yang dijumpai.
Cara-cara membuat
Tiabah Balau menjelaskan Sikarang adalah kuih yang agak senang di buat kerana tidak banyak bahan yang digunakan.
Cara-cara memulakan penghasilan kuih ini ialah, terlebih dahulu air kapur perlu di jernihkan airnya sebelum dimasak. Sesudah air kapur itu mendidih, ianya perlu segera dituang ke dalam tepung beras.
“Gaulkan air kapur yang masih panas itu bersama tepung tadi menggunakan sudu. Agak-agak ianya tidak terlalu lecak iaitu tidak melekat dekat tangan. Bentukkan menjadi bulatan-bulatan sederhana kecil.
Selepas itu, ambil satu kemudian letakkan diantara jari telunjuk kiri dan kanan lalu tekan secara berlawanan untuk membentuk corak seperti kulit siput babi,” jelasnya lagi sambil cuba menunjukkan caranya.
Sememangnya agak rumit cara membuatnya, namun tidak rugi hendak mempelajarinya. Malah akan lebih teruja apabila melihat hasilnya.
Menurut makcik Tiabah lagi, membuat kuih Sikarang ini juga ada ‘pantang’nya tersendiri. Iaitu jauhi daripada angin kuat. Kerana ianya akan menjadi keras. Pastikan sentiasa lembut sebelum digoreng.
Kuih ini selepas digoreng akan menjadi keras. Selalunya, selepas digoreng kuih ini akan disalut dengan gula aising. Namun ada juga penggemarnya akan memakan tanpa salutan dengan gula aising.
Biarpun ianya agak keras, tetapi kuih ini tetap digemari oleh mereka yang sudah berusia. Bagaimana hendak memakannya, tanya sahaja pada mereka.