SEJAK kecil sudah dibiasakan oleh ibu bapanya menyanyi karaoke di rumah, sehingga dewasa minat terhadap nyanyian semakin mendalam.
Robiawati Haji Huyah yang merupakan penyanyi lagu Si Ban Nidtaman, mengakui tidak menyangka apabila diberi kepercayaan untuk membawakan lagu ini yang akhirnya kini sudah boleh didengari secara umum.
Menurutnya, lagu ini telah dicipta pada tahun 80 an. Penciptanya Haji Eszoi Hj Samad telah menyimpannya dengan baik.
“Beliau merupakan pakcik kandung saya….adik beradik dengan ibu saya. Muzik lagu ini pada mulanya adalah gubahan Basri Mohiddin iaitu sekitar tahun 2013,” jelas Robia.
Kemudian lagu ini sekali lagi mendapat gubahan baru bersama rentak yang baru oleh Zubir Lasuboh daripada Tune Studio Record (TSR) dan diterbitkan pada tahun 2021 atas nama PASIS.
Menurut ibu kepada tiga anak ini, lagu ini mengisahkan mengenai seorang wanita yang dirundum kesedihan apabila percintannya dengan kekasih yang telah lama terjalin, putus tanpa diduganya. Namun dia redha atas ketentuan-Nya.
Pernah menyertai beberapa acara nyanyian yang diadakan di peringkat kampung dan juga dibangku sekolah, Robia berkata minat terhadap bidang seni ini adalah juga atas sokongan ibunya.
Sedikit latar belakang Robia yang kini berusia 34 tahun, adalah anak kedua daripada empat adik beradik ini memulakan alam persekolah di sekolah SK Taman kemudian ke SMK Taun Gusi dan seterusnya melanjutkan pelajarannya dalam bidang Pengurusan Pelancongan peringkat Diploma di sebuah kolej swasta iaitu International Universiti College of Technology Twintech (IUCTT), Kota Kinabalu.
Mengidolakan penyanyi nombor satu negara Datuk Siti Nurhaliza untuk bidang nyanyian, manakala Allahyarham Tan Sri P.Ramlee pula adalah idolanya dalam bidang lakonan.
Bila ditanya mengenai kebolehan mencipta lagu.
Jawapan Robia; “Tidak boleh. Saya hanya mampu menyampaikan lagu orang sahaja,” katanya lagi sambil tergelak. Tambahnya lagi, selain lagu Si Ban Nidtaman ini, ada beberapa lagi lagu yang akan menyusul hasil ciptaan Haji Ezsoi yang bakal dinyanyikannya.
“Harapan saya, supaya akan banyak lagi lagu-lagu Iranun dihasilkan…lagu-lagu yang baik dan dapat menghiburkan pendengar terutama masyarakat Iranun,” kata Robia.
Selain menyanyi, Robia juga sebenarnya aktif dalam memperkenalkan kebudayaan Iranun seperti baju tradisional Iranun, pelamin Iranun, usunan Iranun termasuklah tarian tradisi Iranun.
Dalam hal ini, beliau juga turut menyimpan harapan tinggi agar anak-anak muda dapat menerusan sekaligus memperkenalkan lagi kebudayaan dan Bahasa Iranun di peringkat lebih tinggi supaya bahasa ini dan budayannya tidak ditelan zaman. –