Oleh Masmujahidah Masrin
Menyelusuri adat istiadat masyarakat Iranun, ramai yang masih tidak pasti tentang maksud disebalik sesebuah adat terutamanya generasi muda. Ada yang beranggapan ianya hanya simbolik semata-mata atau kebiasaan turun-temurun yang perlu diikuti berzaman-berzaman. Penulis merasa bahawa perkara ini perlu dibincang dengan terperinci supaya generasi akan datang lebih arif tentang adat-adat ini.
Dalam rencana kali ini, penulis ingin mengetengahkan simbolik dalam adat istiadat perkahwinan masyarakat Iranun. Penulisan ini akan dibahagikan kepada beberapa bahagian agar dapat diulas dengan lebih teliti. Semoga penulisan ini dapat memberi manfaat kepada pembaca sekalian.
PAMANAI
Pamanai ialah sejenis bendera kecil tiga segi yang dipasang pada laluan pengantin lelaki ke rumah pengantin perempuan dan fungsinya adalah sebagai penanda jalan. Pemasangan pamanai hendaklah menggunakan kain yang baik. Pemasangan pamanai yang diperbuat daripada kertas adalah dilarang sama sekali.
Pamanai hanya dibenarkan dalam empat (4) warna sahaja, iaitu:
1. Hijau
2. Kuning
3. Merah
4. Putih
Sewaktu Tuan Haji Masrin Haji Hassin (mantan ketua daerah Kota Belud dan pengerusi kelab Persatuan Bahasa dan Kebudayaan Iranun (BKI)) ke Riau,Sumatera pada tahun 2017 dengan rombongannya
dalam misi menjelajahi seantero nusantara, beliau telah menemui banyak pamanai, serta khazanah- khazanah lain seperti kulintangan, sundang dan kampilan juga kelong di Reteh, Tambilahan, Patah Parang dan lain-lain tempat.
Peralatan-peralatan ini telah menjadi pusaka yang amat berharga kepada masyarakat Iranun di Sumatera kerana khazanah ini telah menjadi pusaka turun temurun dari nenek moyang mereka. Ini menunjukkan bahawa penggunaan pamanai dalam masyarakat Iranun sudah lama digunakan dan tidak hanyut ditelan zaman walaupun sudah 250 tahun berlalu.
Meskipun penggunaan pamanai pada masa kini hanyalah sebagai penanda jalan dan simbolik dalam sebuah majlis perkahwinan, tetapi penulis percaya ianya mempunyai pengertian yang sangat mendalam semasa zaman nenek moyang kita terdahulu. Kini kita tidak lagi dapat mencari pengertian sebenar dalam pemasangan pamanai ini dek kerana kekurangan sumber pendokumentasian atau wawancara mengenainya. Penulis berasa perkara ini mesti diwarisi agar keunikan pamanai dapat dipelihara dan dijaga oleh generasi muda.
PASANDALAN DAN SAMBAR LAYANG
Pasandalan ialah bendera yang dipasang di rumah pengantin perempuan. Manakala sambar layang atau sambu layang ialah bendera yang dipasang di rumah pengantin lelaki. Perbezaan antara kedua-dua bendera ini ialah copnya atau tandanya. Pasandalan yang dipasang di pihak perempuan menggunakan bulan atau bintang atau serimpak atau sinisip. Manakala sambar layang yang dipasang di rumah pengantin lelaki menggunakan gambar kuda atau harimau atau singa atau dastar atau tanjak.
Terdapat juga persamaan antara kedua-dua bendera ini iaitu warnanya. Pasandalan dan sambar layang kedua-duanya mengenakan warna hijau, merah, putih dan kuning. Warna-warna ini sudah menjadi kebiasaan dan kebanggaan bagi masyarakat Iranun sejak zaman dahulu lagi. Ini kerana warna-warna itu mempunyai pengertian yang mendalam terhadap diri mereka.
Pengertian masyarakat Iranun kepada warna hijau adalah seseorang itu mempunyai kedudukan yang tinggi seperti berketurunan Datu, atau Raja atau Sultan. Warna merah membawa maksud lambang keberanian, gagah perkasa dan serba boleh. Warna putih pula menggambarkan peribadi seseorang yang memakainya itu ikhlas, suci bersih, berpegang kepada agama, ulama dan boleh dipercayai.
Manakala warna kuning pula menandakan masyarakat Iranun itu mempunyai keturunan Sharif dan Said atau Habib. Warna kuning juga melambangkan ketinggian bangsa itu sendiri.
Satu sejarah telah ditulis dalam buku “The Philippines A Unique Nation” karangan Sonia M. Zaide, muka surat 38 menceritakan, pada tahun 1250 Datu Puti telah membeli Pulai Panai daripada King Marikudo dengan nilai sebanyak satu (1) saduk emas. Datu Puti pada waktu itu telah disertai oleh 9 orang Datu yang lain berserta isteri dan tentera-tentera mereka. Menurut penceritaan buku ini, 10 orang Datu itu berasal dari Borneo, yang pada masa itu kerajaan mereka diterajui di bawah pimpinan Sultan Makatunaw.
Walaubagaimana pun, Sultan Makatunaw sendiri tidak mengikuti pelayaran tersebut tetapi tinggal di Borneo meneruskan kepimpinannya.
Beberapa pendapat menyatakan bahawa 10 orang datu Borneo ini adalah berbangsa Iranun meskipun dalam penulisan itu mereka disebut sebagai “Bornean Malay”. Ini kerana, istilah Melayu pada zaman dahulu merujuk kepada orang-orang yang datang dari Tanah Melayu dan bukanlah merujuk kepada bangsa Melayu itu sendiri. Tambahan pula, jika dilihat secara mendalam, mana mungkin datu-datu Borneo ini berbangsa Melayu kerana penggunaan Bahasa Iranun yang lebih sinonim dengan mereka berbanding Bahasa Melayu. Sebagai contoh, nama Sultan Makatunaw. Dalam Bahasa Iranun, makatunaw (atau makatunag) bermaksud membinasa atau merosakkan. Manakala dalam Bahasa Melayu, ianya tidak membawa apa-apa maksud tertentu. Dalam buku itu, pengarangnya menulis “………. ten datus and their families left their kingdom of Borneo and the cruel reign of Sultan Makatunaw, to seek their freedom and new homes across the sea.” Nah, sesuai lah nama Sultan Makatunaw yang dikatakan kejam ini dengan maksudnya dalam Bahasa Iranun.
Pada tahun 2017, rombongan Persatuan Bahasa Kebudayaan Iranun (BKI) diketuai oleh Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan (mantan) OKK Tuan Hj Masrin bin Hassin telah pergi ke Pulau Panai Filipina Tengah untuk melihat sendiri perjelajahan Iranun di Nusantara. Tuan Haji Masrin bin Hassin sendiri memberitahu penulis bahawa di daerah Antique, mereka mendapati gambar-gambar Datu Puti semasa mendarat di tempat itu mempunyai bendera yang berwarna hijau, merah, putih dan kuning. Jika benar 10 orang datu dari Borneo itu berketurunan Iranun, maka tidak janggal lagi jika penulis katakan bahawa warna-warna ini sebenarnya membawa pengertian dalam masyarakat Iranun terdahulu.
USUNAN
Usunan adalah sejenis pengangkutan yang telah digunakan oleh masyarakat Iranun sejak kira-kira 250 tahun yang lalu. Usunan diperbuat daripada buluh yang baik, tali yang kuat, dan kain yang berkualiti.
Hiasan usunan mempunyai makna yang tersendiri mengikut kepercayaan masyarakat Iranun.
Menurut cerita, usunan digunakan untuk meraikan kepulangan Raja Ismail, selepas peperangan dengan Belanda pada 1787. Orang-orang pada masa itu telah membina usunan untuk menunjukkan rasa hormat mereka dan mengucapkan terima kasih kepada Raja Ismail kerana beliau telah memenangi peperangan tersebut.
Sejak itu, usunan telah digunakan oleh orang Iranun untuk meraikan orang-orang kenamaan seperti mereka yang berketurunan Datu dan Sharif, dan untuk meraikan pengantin pada majlis perkahwinan. Manakala mereka yang berketurunan biasa sudah memadai dengan menaiki kuda yang dihias cantik sahaja. Adalah dipercayai bahawa mereka yang bukan berdarah Iranun atau berketurunan biasa tidak boleh sewenang-wenangnya menaiki usunan kerana pengangkutan ini bertujuan untuk mengangkat golongan atasan sahaja. Barangsiapa yang melanggar adat ini, orang itu akan mendapat penyakit atau lebih disebut sebagai “kiatulahan” (ketulahan). Adat ini masih diteruskan sehingga kini dan ianya sering kali menjadi perhatian kerana kecantikan seninya.
LEMBA
Lemba ialah perhiasan yang dipasang di sepanjang dinding rumah pengantin lelaki dan pengantin perempuan. Ia ialah kain yang diperbuat dengan pelbagai corak yang cantik dan menarik. Penghasilannya adalah menggunakan tangan dan lazimnya dihasilkan oleh mereka yang memiliki kemahiran yang tinggi dalam seni ukiran. Seni ukirannya juga sama seperti corak-corak yang digunakan dalam Usunan. Kain yang dihias cantik itu dinamakan Sambira sekiranya ia berukuran pendek. Manakala sekiranya perhiasan itu dibuat pada kain yang panjang, ianya disebut sebagai lalansai.
Penggunaaan Sambira ini sudah sinonim dengan masyarakat Iranun sejak dahulu lagi. Ianya pernah disebut di dalam buku “Mindanao Art and Culture, Stories from the Darangen”, muka surat 59 menceritakan pada suatu zaman dahulu penggunaan Sambira ini dipanggil lemba oleh masyarakat di Minirigi a Rogong. Bagi mereka, lemba itu ialah perbuatan menghias katil bagi menyambut ketibaan tetamu. Ini bermaksud, kewujudan Sambira dan aktiviti pelemba bukan lah cerita dongeng semata-mata tetapi ianya sudah lama menjadi adat dan kebiasaan dalam majlis perkahwinan.
Kini, masyarakat Iranun mengamalkan budaya pelemba dalam majlis keramaian untuk mengalu-alukan tetamu dan meraikan saudara mara yang datang bertandang. Senibina dan ukiran yang digunakan dalam perhiasan usunan dan sambira selalunya menggunakan kain tenunan yang memiliki corak-corak tertentu. Corak-corak ini memiliki maknanya yang tersendiri. Antara corak yang kerap kali digunakan adalah sunding, anunan, unsud-unsud, kalinguan, pelita, kapas dan banyak lagi.
TEMBAK SENAPANG
Penembakan senapang telah menjadi adat istiadat masyarakat Iranun sejak beratus-ratus tahun yang lalu lagi. Ianya merupakan amalan untuk menghargai kedatangan seseorang yang dihormati, disayangi serta dikasihi.
Telah diceritakan dalam buku The Sarawak Museum Journal, dalam penulisan “The Diary of Mr. William Pretyman, First Resident of Tempasuk” muka surat 367, dimana pada 20 Julai 1878, sewaktu Mr. William Pretyman sampai ke muara sungai Pandasan untuk berjumpa dengan Ketua Masyarakat Iranun di Tempasuk iaitu Pangeran Sir Rajah Muda untuk menyelesaikan pertelingkahan sarang burung di Pulau Mantanani Kecil di antara Sulutana Adil dengan sepupu sekalinya, Pandarat berbangsa Bajau di Abai, kedatangan beliau telah disambut dan diiringi dengan tembakan senapang sebanyak 7 kali sebagai tanda untuk menghormatinya. Peristiwa ini digambarkan dengan jelas dan ini menunjukkan bahawa penembakan senapang yg masyarakat Iranun amalkan pada masa kini sudah menjadi tradisi sejak 140 tahun yang lalu jika dikira dari penulisan dalam diari Mr William Pretyman ini.
Kini, budaya menembak senapang dilakukan semasa menyambut kedatangan pihak lelaki ke rumah pihak perempuan. Pihak lelaki akan menembak terlebih dahulu untuk memaklumkan pihak perempuan akan ketibaan mereka. Pihak perempuan pula akan membalas tembakan itu untuk memaklumkan bahawa mereka telah bersiap sedia untuk menerima kedatangan pihak lelaki dan rombongannya. Sekiranya pihak lelaki berhenti menembak, maka pihak perempuan pun berhenti membalas tembakan senapang itu.
SEPAK MANGGIS
Sepak Manggis atau kasipa sa manggis adalah permainan traditional yang bukan asing lagi dalam masyarakat Iranun khususnya semasa hari perkahwinan. Sepak Manggis dimainkan sebelum acara persandingan berlansung. Lazimnya, permainan Sepak Manggis ini hanya disertai oleh golongan lelaki sahaja. Mereka menyepak bola rotan di dalam bulatan dan sesiapa yang sepakannya terkena manggis yang digantung tinggi, maka dialah pemenang pertandingan atau permainan Sepak Manggis itu.
Dalam buku “Mindanao Art and Culture, Stories from the Darangen”, muka surat 61 ada menceritakan peristiwa bahawa pada suatu ketika dahulu, di daerah Minirigi a Rogong telah disaksikan dan dijalankan pertandingan kasipa sa manggis oleh golongan bangsawan di mana Datu-datu menyepak ke udara sebiji bola yang diperbuat daripada rotan. Barangsiapa yang dapat menyepak bola rotan itu sehingga terkena kotak yang digantung, maka Datu itulah yang akan mengahwini Puteri di daerah tersebut.
Penceritaan dalam Darangen ini sedikit sebanyak menunjukkan persamaan permainan Sepak Manggis yang masyarakat Iranun miliki pada masa kini. Ianya sudah lama wujud dan adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk menjaga tradisinya. Jika tidak, pasti acara yang unik ini akan lesap ditelan arus zaman.
Masih terlalu banyak lagi pengertian yang perlu difahami olah generasi muda tentang adat istiadat dalam perkahwinan masyarakat Iranun. Rencana ini wajar diteruskan lagi dalam perbincangan adat-adat lain seperti majlis pertunangan, adat kematian, pantang larang dalam pengebumian dan upacara-upacara tertentu yang sering kali diadakan oleh masyarakat Iranun. Tidakkah golongan muda mahu mencari pengertian tradisi dan adat resam kita? Rugi sekali jika ‘tidak’ jawapannya!
- Motif Kapas
- Motif Pelita
- Motif Sunding
- Motif Kalinguan
- Motif Anunan
- Motif Unsud Unsud