KALAU ada satu peristiwa yang layak dikenang dan boleh dikategorikan sebagai penting dan bersejarah, mungkin salah satunya ialah Pertemuan Iranun Nusantara (PIN) Ke II yang diadakan di Kota Kinabalu kira-kira tiga tahun lalu.
Pertemuan yang dihadiri kira-kira 150 peserta dari seluruh Sabah termasuk peserta dari Kuching Sarawak, Mindanao Filipina, Toli-Toli Sulawesi Utara, Belitong dan lain lain menjadi satu titik penting dalam usaha mempertemukan dan menjalin hubungan lebih erat di kalangan sukubangsa Iranun dan diaspora Iranun serta keturunan dan generasi yang dilahirkannya.
Peranan Iranun sebagai wira samudera sejak zaman bahari seperti yang tercatat dalam buku buku sejarah abad ke-18 dan ke-19 adalah sesuatu yang sangat signifikan dalam gerakan penentangan terhadap kolonialisme pada masa itu.
Kini suku bangsa Iranun yang tersebar di Sabah, Mindanao, Bangka Belitong, Jambi, Reteh Indragiri Hilir, Riau, Lingga kian terpisah bukan saja kerana batasan geo politik tetapi juga kerana semangat keiranunan yang semakin menipis jika tidak ada usaha untuk membangkitkan kesedaran dan kepedulian mereka terhadap sejarah perjuangan bangsa mereka sendiri.
Program Pertemuan Iranun Nusantara yang diadakan buat kali kedua pada 14 April 2018 boleh dikatakan sukses. Sebelumnya Pertemuan Iranun Nusantara 1 (bpangusul sa Belitung) penah diadakan di Tanjung Pandan Belitong pada 25 April 2016 dengan kejayaan menjejaki keturunan Iranun di Belitung layak dibanggakan.
Kalau bukan kerana pandemik Covid-19, Pertemuan Iranun Nusantara ke III dijadual diadakan di Tangcal Lanao de Norte diselangi lawatan ke Mindanao State Universiy Marawi City pada Disember lalu. Tetapi manusia hanya boleh merancang, selebihnya Allah yang menentukan.
Mengimbas semula kejayaan Pertemuan Iranun Nusantara di Kota Kinabalu, mungkin sesuatu yang sukar diulangi.
Sejarah tercipta apabila pertemuan itu bukan saja disertai peserta dari Filipina, Indonesia dan peserta dari Kuching Sarawak. Antara yang hadir ialah rombongan Dewan Adat Kabupaten Tolitoli Sulawesi Tengah, rombongan Keluarga Turunan Iranun Belitong, Provinsi Bangka Belitung, Sumatera Selatan, dan rombongan dari Mindanao, Filipina.
Program dimulakan dengan pembentangan Kertas Kerja oleh Dr Jamaluddin Datu Moksan dengan tajuk Hubungan Iranun Dengan Nusantara: Perspektif Wira Alam Melayu dipengerusikan oleh Azimah Athera Jamaluddin.
Selepas itu, majlis diteruskan dengan upacara perasmian yang disempurnakan oleh mantan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia , kini Utusan Khas Sabah ke BIMP-EAGA yang juga Penaung Persatuan Bahasa dan Kebudayaan Iranun.
Tan Sri Pandikar sempat menyentuh pelbagai aspek pensejarahan suku bangsa Iranun di Sabah yang perlu diteliti pengkaji sejarah.
Beliau meminta agar ahli sejarah membuat kajian yang lebih mendalam, tidak menyalin bulat bulat pendapat yang dikemukakan orientalis barat yang pasti mempunyai kepentingan sendiri dalam penulisan mereka.
Beliau menggesa masyarakat Iranun di Malaysia, Indonesia dan Filipina memperkukuhkan hubungan dan kerjasama dalam pelbagai bidang untuk memartabat dan memperkasakan Iranun di Nusantara.
Dalam pertemuan itu juga, Yang Di Pertua BKI, OKK Haji Masrin Haji Hassin juga menganugerahkan Tanjak a Gumbilaan atau Tanjak Pahlawan kepada Ketua Dewan Adat Tolitoli, Drs Haji Ibrahim Saudah sebagai tanda penghormatan daripada BKI kepada tokoh adat itu dalam usaha memperkukuh hubungan antara masyarakat Iranun dan masyarakat Tolitoli di Sulawesi Tengah.
Sementara itu, Ketua Dewan Adat Tolitoli, Drs H Ibrahim Saudah pula menganugerahkan Sesepuh Pemangku Adat Tolitoli kepada Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia sebagai tanda penghargaan dan penghormatan kepada beliau daripada Dewan Adat Tolitoli.
Selesai acara perasmian dan jamuan kudapan, program diteruskan lagi dengan pembentangan makalah oleh Ketua Dewan Adat Tolitoli, Sulawesi Tengah, Drs H Ibrahim Saudah dan Naib Canselor Universiti Negeri Mindanao Kampus Marawi, Dr Elin Anisha Guro yang dipengerusikan oleh Haji Jamil Atan.
Tajuk makalah oleh Dr Anisha ialah “Challenges in the Meranaw Language, Drawing Inspiration from the Iranun in Sabah” manakala Drs H Ibrahim Suadah menyampaikan makalah mengenai sejarah dan budaya Tolitoli.
Sesi sebelah petang dipengerusikan oleh peguam pertama Iranun, Mohd Salleh Lamsin manakala pembentang makalah ialah Sultan Samporna Sa Masiu, Mohammad T Bano dan Masmujahidah OKK Haji Masrin dengan kertas kerja “Major Achievement of Iranun in Sabah Malaysia” dan Sultan Samporna menyampakan kertas kerja Iranun, the Rising Star of the South East Asia .
Majlis forum yang diadakan selepas itu, sekali lagi menjemput Dr Elin Anisha Guro, Dr Jamaluddin Moksan, Moh Nasir Daeng Marumu, Kepala Dinas pariwisata Tolitoli yang dipengerusikan oleh Haji Jamil Atan.
Majlis penutupan seminar itu disempurnakan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datu Rosmadi Sulai (kini Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Sabah
Rosmadi mengingatkan masyarakat Iranun agar lebih proaktif dalam mengurus aset dan khazanah warisan Iranun.
Katanya, walaupun aspek sejarah penting tetapi yang lebih penting lagi ialah mengurus aset budaya Iranun demi kepentingan generasi akan datang.
Pada sebelah malamnya, beliau turut meraikan peserta Pertemuan Iranun Nusantara dalam satu majlis makan malam di salah sebuah restoran terkenal di ibu negeri.
Sehari sebelum itu, peserta dari luar negara dibawa melawat Taman Negara Kinabalu, Ladang Tenusu di Kundasang dan, pusat tenunan Iranun di Kampung Rampayan Laut dan kemudian menikmati minuman petang di rumah Yang Di Pertua Persatuan Bahasa dan Kebudayaan Iranun, OKK Haji Masrin Haji Hassin sebelum menghadiri majlis jamuan Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia pada 13 April 2018.
Demikianlah antara tentatif program Pertemuan Iranun Nusantara (PIN) kedua. Sekadar mengingatkan masyarakat Iranun betapa pentingnya hubungan sejarah dan kerjasama budaya Iranun itu diperkasakan kembali untuk dimanfaatlkan generasi akan datang.
Semoga resolusi dan semangat PIN kedua itu dapat diteruskan dan dimantapkan lagi. Semoga program-program yang sudah dirancangkan akan dapat dilaksanakan selepas berakhirnya pandemik yang menyebabkan banyak hiruk pikuk dan tragedi .
- PESERTA….Antara peserta Pertemuan Iranun Nusantara kedua
- DARI SELURUH DUNIA IRANUN…Sebahagian lagi peserta Pertemuan Iranun Nusantara (PIN) Kedua
- SUKSES…Suhana Lina Sarkawi (Sarawak) dan Dr Anisha E Guro (Mindanao) antara yang hadir
- TIBA…Tan Sri Pandikar disambut tiba untuk merasmikan Pertemuan Iranun Nusantara
- PERASMIAN…Majlis perasmian Pertemuan Iranun Nusantara kedua
- SATU PENGHORMATAN….Haji Masrin Hassin menyalami Drs Ibrahim Sauda selepas majlis penyampaian anugerah Tanjak A Gumbilaan atau Tanjak Pahlawan
- ANUGERAH…Drs H Ibrahim Saudara bercakap sesuatu kepada Tan Sri Pandikar selepas menganugerahkan gelar Sesepuh Adat Tolitoli
- DARI TOLITOLI….Drs H Ibrahim Sauda dari Tolitoli
- Dr Anisha E Guro dari Mindanao State University
- Sultan Samporna Sa Masiu…Mohamad T Bano
- Dr Datu Jamaludin Moksan
- Masmujahidah Haji Masrin