PERSATUAN Anak Seni Iranun Sabah (PASIS), sememangnya komited dalam usaha untuk memartabatkan lagi kesenian dan kebudayaan masyarakat Iranun.
Cubaan untuk memperkenalkan lagi bahasa Iranun kepada umum menerusi lagu-lagu yang dihasilkan sedang dipergiat oleh persatuan. Langkah ini nampaknya mendapat sambutan yang baik.
Satu demi satu lagu diperkenal bermula dengan lagu Talad A Pidsapan dinyanyikan penyanyi yang dianggap legend, Josman@Star Iranun. Ianya kemudian disusuli beberapa lagi lagi seperti Riwara Su Ataiku penyanyi Hafiz Ramsah, Karimbaran (Juhaini), Si Ban Nidtaman Robiawati Huyah beberapa lagi lagu Hari Raya Iranun antaranya Maling Tah Hari Raya (Star Iranun, Hafiz dan Robiawati).
Lagu-lagu yang dihasilkan mampu membuka ruang dan peluang kepada persatuan ini untuk terus mempergiatkan bahasa Iranun. Ini diperakui sendiri oleh presiden PASIS, Ramilkan Adsin dengan menyatakan apa yang dilakukan oleh persatuan tidak lain adalah hanya untuk memartabatkan lagi Bahasa Iranun hingga dikenali di mata masyarakat dunia.
“Kami juga sekarang ini turut mencari peluang dan ruang bukan sahaja menjurus pada seni suara, tapi juga seni lain seperti seni lakon, seni tari, seni kraf dan beberapa lagi yang merupakan cabang kumpulan seni dalam persatuan ini,” katanya.
Tidak dinafikan ketika ini, dilihat perkembangan lagu-lagu Iranun bagaikan ‘cendawan tumbuh selepas hujan’. Ianya sesuatu yang perlu dibanggakan kerana jika dilihat dari segi seni suara, Iranun agak kebelakang dalam memperkenalkan ataupun menghasilkan lagu-lagu Iranun, walaupun punyai golongan pencipta lagu berbakat.
Menurut Ramilkan, meskipun masih berada di dalam Pandemik, akibat penularan COVID-19 yang kian meningkat, PASIS tetap gigih untuk meneruskan perjuangan yang sudah pun direncanakan.
“PASIS akan perbanyakkan lagi lagu-lagu Iranun terutama untuk menghasilkan lagu berbentuk Karaoke seperti yang termaktub dalam salah satu matlamat PASIS, setakat ini kita sudah cipta sejarah apabila berjaya membuat video klip bersama karaoke,” antara intipati ucapannya dalam Mesyuarat Agung PASIS yang diadakan pada 27 Mac yang lalu.