Kehidupan masyarakat Iranun Kota Belud amat rapat jaraknya dengan planet hidupan laut dari dulu sehinggalah pada saat ini. Pada masa dahulu empat buah perkampungan Iranun seperti Kampung Tamau, Kampung Pantai Emas, Kampung Nanamun dan Kampung Rampayan Laut mempunyai jajaran pantai yang memanjang, bersih, redup dan tanpa hakisan. Kini secara umum leretan pantai tersebut bolehlah dipanggil dengan nama Pantai Pintasan. Sebagai ironi, kesemua perkampungan tersebut terletak dalam kawasan teritori politik DUN: N08. Pintasan yang baru sahaja diwartakan oleh pihak kerajaan. Etimologi perkataan ‘Pintasan’ merujuk kepada sebatang sungai sederhana cetek yang menjalar panjang sekitar 3.5km berhampiran dengan tepi pantai dalam kawasan tanah simpan kerajaan di antara Kampung Tamau dan Kampung Rampayan Laut.
Generasi muda Iranun era 90an sudah pasti tidak lagi ramai yang tahu tentang sejarah kehidupan tradisi generasi lama di pesisir pantai. Pertumbuhan pokok pandan (barungis), renek serta pokok-pokok lain yang rimbun merupakan ilustrasi pemandangan di sepanjang Pantai Pintasan yang pada masa dulu menjadi tumpuan sebilangan besar masyarakat Iranun mencari sumber rezeki harian demi kelangsungan hidup. Pelbagai jenis ikan tepian pantai sangat senang diperolehi hanya dengan menggunakan pukat dan jala di samping ketam laut, udang kecil (bubuk), ikan bilis, siput laut (bibinangka) yang hadir mengikut musim. Asal saja pergi ke tepi pantai sudah tentu jarang yang kecewa kerana tiada hasil tangkapan, malah rezeki semakin lumayan pada musim yang khusus terutamanya ketika udang kecil (bubuk) yang diperlukan untuk pembuatan belacan datang menziarahi pantai yang luas berpasir hingga menukar warna ombak-ombak kecil menjadi kemerahan.
Kisah musim yang sudah pergi meskipun angin utara masih setia merupakan sejarah kecil tentang lagenda pendaratan penyu di sepanjang pesisir Pantai Pintasan. Pendaratan penyu ketika itu selalunya bermula seawal perubahan musim yang disusuli tiupan angin monsun utara. Sebelum era 80an dikatakan puluhan ekor penyu mendarat untuk bertelur di sepanjang Pantai Pintasan pada waktu malam. Pada masa itu persaingan untuk mendapatkan telur penyu ketika musim kemuncak tidak ketara disebabkan jumlah penduduk perkampungan Iranun yang masih kurang. Tambahan pula, telur penyu tidak punya harga yang tinggi, sistem perhubungan yang sangat daif tidak menyokong pemasaran telur penyu ke tempat yang jauh.Telur penyu senang diperolehi kerana pada waktu siang hari pun masih ada penyu yang mendarat untuk bertelur, selain telur penyu yang dapat dijejaki melalui bekas laluan atau tempat penyu bertelur pada waktu malamnya.
Sekitar tahun 80an penduduk perkampungan Iranun yang semakin ramai menyebabkan aktiviti pencarian telur penyu mula menunjukkan persaingan yang ketara. Perlumbaan mencari telur penyu bukan sahaja disebabkan bilangan penyu yang mendarat pada waktu malam semakin berkurang, malah telur penyu sudah ada nilai pasaran yang baik di Pekan Kota Belud. Asal saja musim tiupan angin monsun utara kencang pada siang hari ramai peminat telur penyu merayau atau meronda di sepanjang pantai pada waktu malamnya untuk menjejaki penyu-penyu yang bertelur. Antara yang unik pada masa itu ialah teknik serta helah setiap orang yang ingin menjejaki ibu penyu untuk memonopoli telurnya secara bersendirian. Sudah menjadi kebiasaan sebelum penyu sempat bertelur di tempat pendaratan, sudah ada orang yang menyambarnya lalu dibawa lari ke tempat lain yang jauh dari perhatian orang ramai. Kemudian penyu dibiarkan di celah-celah pokok pandan atau kawasan pasir yang lapang, tuan juga penyu sering membantu ibu penyu menggali lubang sebelum mula bertelur. Jika tiada orang lain yang menjumpai penyu tersebut, maka kesemua telur penyu tersebut menjadi miliknya sendiri tanpa dikongsi dengan orang lain atau dalam bahasa Iranun ‘pakambisa’.
Adegan yang menarik apabila berlaku kejar mengejar dalam suasana gelap di antara tuan penyu dengan orang lain yang turut menyedari ada ibu penyu yang sedang dilarikan oleh seseorang ke tempat lain. Pada masa itu sekiranya ada orang lain yang berjaya menjumpai penyu yang disembunyikan maka kesemua telur penyu tersebut hendaklah diagihkan secara sama-rata. Adakalanya kelebihan sering menyebelahi orang yang bertenaga kuat untuk melarikan ibu penyu lebih jauh dari tempat pendaratan yang asal kerana orang lain sukar menjejakinya terutama pada waktu malam yang gelap tanpa kehadiran bulan. Namun ada masanya ibu penyu yang dibawa lari terlalu jauh tidak mengeluarkan telur kerana mengalami tekanan. Malah ada juga orang yang sengaja mengelirukan orang lain dengan membuat jejak yang serupa dengan laluan ibu penyu yang baru selesai bertelur. Tindakan memadam laluan penyu yang sebenar juga sering dilakukan supaya penyu yang dibawa lari ke tempat persembunyian tidak dapat dijejaki oleh orang lain. Namun, mereka yang banyak pengalaman sukar dikelirukan kerana dapat menghidu bau kehadiran penyu yang baru mendarat selain berupaya membezakan laluan penyu yang sebenar dari laluan palsu yang sengaja dibuat untuk mengelirukan orang lain.
Tahun demi tahun pendaratan penyu semakin berkurangan, peminat telur penyu pula semakin ramai hinggakan pada waktu malam seumpama ada pesta besar di sepanjang pantai. Dari jumlah puluhan ekor ke angka belas-belas dan seterusnya dua hingga tiga ekor sahaja penyu yang mendarat pada waktu malam. Ada juga cerita taktik tuan penyu yang berjaya menyembunyikan ibu penyu dalam kain sarung atau selimut semasa ibu penyu sedang bertelur, kemudian selepas proses bertelur selesai dan kesemua telur sudah dikeluarkan dari lubang barulah tuan penyu membiarkan penyu itu bergerak keluar untuk perhatian orang lain yang sedang tumpang duduk bersembang dengannya. Mereka yang ada di situ selalunya sangat terkejut setelah menyedari kejadian ada penyu yang baru saja siap bertelur. Seekor penyu boleh bertelur antara 80 hingga 120 biji. Malangnya, mereka sudah tidak mempunyai hak lagi ke atas semua telur penyu yang sudah pun dikeluarkan dari lubang tempat penyu itu bertelur.
Kini cerita penyu yang mendarat untuk bertelur pada musim ‘pangutara’ hampir dilupakan sepenuhnya atas faktor perubahan zaman dan pertukaran generasi. Malah generasi baru kini bukan saja tidak pernah melihat penyu yang sebenar, mereka juga tidak pernah tahu tentang sejarah kistimewaan asal usul mereka sendiri. Sejarah yang berkaitan dengan pendaratan penyu sudah berlalu lebih dua puluh tahun yang lepas seiring dengan kepupusan penyu di Pantai Pintasan. Ini kerana kaedaan laut lepas yang berpasir tidak menyokong pengekalan habitat penyu hingga ke hari ini, kepupusan penyu secara mendadak turut terjadi akibat aktiviti perikanan oleh kapal-kapal nelayan siring pantai yang tiada kawalan selain faktor telur penyu yang tidak sempat menetas. Kemudian wujud pula peraturan telur penyu merupakan bahan larangan kerana penyu dikategorikan sebagai haiwan terancam yang dilindungi. Akhirnya tiada lagi kontroversi tentang peraturan itu di kalangan penduduk setempat selepas tiada lagi penyu yang sudi mendarat di Pantai Pintasan.
Faktor evolusi serta sikap manusia itu sendiri telah menuntut ekspektasi yang jauh berbeza tentang fenomena kehidupan orang Iranun pada masa dulu berbanding dengan kehidupan generasi hari ini. Zaman ini amat mendukacitakan setelah kawasan pantai turut menjadi sasaran tempat pembuangan sampah dan lombong pasir. Pantai sudah mula terhakis, tidak lagi banyak pokok-pokok pandan serta pokok lain yang tumbuh dengan subur di sepanjang tepian pantai. Pantai hanya ada nyanyian ombak yang sudah tidak berirama seperti musim dulu, ikan-ikan yang bisa masih ada tapi tidak lagi lumayan seperti tangkapan musim dulu. Ketam pasir atau dalam bahasa Iranun ‘kayagkag’ juga masih hadir tapi tidak lagi semeriah zaman dulu. Kini pantai hanya jadi tumpuan untuk bermain pasir, tempat mandi-manda dan menyaksikan pemandangan laut lepas sambil melepas rindu yang infiniti. Meskipun semua itu sudah tidak punya nilai sentimental lagi, tiupan angin monsun utara yang masih setia terus menghembus imbauan sejarah musim pendaratan penyu yang sudah pergi lalu memaksa waktu malam yang dulunya ceria bagaikan ada pesta kerana kehadiran orang ramai yang ingin menjejaki penyu bertelur hanya tinggal kenangan.
- POKOK PANDAN…Pokok pandan yang kurang subur dan tidak rimbun seper
- JAUH BERBEZA…Ekspektasi generasi baru dengan generasi lama jauh berbeza
- PANTAI PINTASAN…Pantai Pintasan ke arah Kuala Abai (barat laut)
- SEBELAH UTARA…Pantai Pintasan ke arah Rampayan Laut
- TIDAK SEMPAT…Generasi baru tidak sempat menyaksikan pendaratan penyu
- SUMBER REZEKI…Sungai Pintasan sumber rezeki komuniti setempat hingga hari ini
- JADI SASARAN…Pokok pandan (barungis) jadi sasaran pembuangan sampah
- TERANCAM HAKISAN…Perkuburan Batu Gadung yang turut mengalami hakisan