TAWAU: Setiap kali Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau (FKAT) diadakan, etnik Iranun di Tawau tidak pernah ketinggalan menyertai dan memeriahkan festival berkenaan.
FKAT mula dilancarkan pada tahun 2011 sebagai satu acara tahunan Perbandaran Tawau tetapi penyertaan Etnik Iranun bermula setahun selepas itu iaitu pada tahun 2012 hingga tahun 2019 namun terpaksa ditangguhkan berikutan pandemik Covid-19.
Pengerusi Persatuan Komuniti Etnik Iranun Tawau, Datu Sabri Haji Ahmad Talah berkata sambutan Masyarakat Tawau sungguh luar biasa dan meriah terhadap festival yang turut melibatkan 32 etnik yang terdapat di Tawau.
Selain itu, ada juga penyertaan dari luar negara antaranya dari Indonesia, Negara Brunei Darussalam, Syria, Jepun dan Thailand.
Datu Sabri berkata komuniti Iranun yang menetap di sekitar Tawau termasuk yang menjadi peneroka di Felda Umas Umas bekerjasama untuk memastikan penyertaan etnik Iranun dalam Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau yang diadakan setiap tahun.
“Kerjasama yang ditunjukkan adalah dalam bentuk sokongan moral,tenaga, kewangan, material,” katanya yang juga Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN) N71 Tanjung Batu.
Ketika ditanya apa perasaan ketika menyertai festival berkenaan, Datu Sabri tidak dapat menyembunyikan kebanggaan dan kegembiraan kerana turut serta dalam program bertaraf antarabangsa.
“Perasaan yang saya dan rakan seperjuangan rasakan adalah cukup berbangga kerana dapat mempertunjukkan budaya Iranun di daerah Tawau termasuk kepada peserta luar negara.
“ Melalui Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau ini kami juga dapat memperkenalkan suku bangsa Iranun yang memiliki peradaban dan khazanah kebudayaan yang kaya.
Datu Sabri juga menyampaikan penghargaan dan terima kasih kepada pihak penganjur FKAT yang sentiasa memberikan ruang kepada komuniti Iranun untuk menyertai festival berkenaan.
“Tidak syak lagi program FKAT itu menjadi platform untuk meningkatkan kecintaan generasi baru kepada kepelbagaian budaya etnik di Sabah selain mampu menumbuhkan semangat untuk memartabatkan kesenian yang dimiliki etnik masing-masing.
Setiap tahun hampir 50,000 pengunjung membanjiri malam kemuncak FKAT yang berlangsung di perkarangan Majlis Perbandaran Tawau untuk melihat kepelbagaian kaum dan kesenian yang dimiliki setiap etnik yang mengambil bahagian dalam festival berkenaan.
- PELAKSANA…Jawatankuasa Pelaksana Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau (FKAT) ke8
- BERSENI,,,,Nur Asyima Sabri penari etnik Iranun
- KEKAYAAN BUDAYA…Datu Sabri lengkap dengan pakaian tradisi mengetuai Kontinjen Komuniti Etnik Iranun Tawau pada malam kemuncak
- SINISIP…Gadis Iranun dengan sinisip mereka
- KENANGAN…Kumpulan penari Tawau bergambar dengan agen pariwisata Kaltara, Mbak Puspa
- SERTAI….Kontinjen Komuniti Etnik Iranun Tawau sertai FKAT8
- MENARIK…Kumpulan penari Iranun pada malam kemuncak FKAT
- PERJUANG SENI….Kumpulan penari Etnik Tawau