KOTA KINABALU: Penubuhan Fakulti Pengajian Islam di Universiti Malaysia Sabah (UMS) adalah amat siginifikan dengan keperluan semasa untuk memperkasa usaha pembangunan ilmu dan penyebaran syiar Islam di rantau ini.
“Ia sememangnya sudah lama dinantikan oleh para cendikiawan Islam di Sabah, majoriti rakyat Sabah termasuk golongan pelajar pelbagai bidang dalam jurusan pengajian Islam,” kata Presiden Persatuan Graduan Iranun Sabah (PAGISA), Zakaria Haji Barabag.
PAGISA meyakini fakulti baharu ini dapat menyediakan tempat, inisiatif dan sokongan infrastruktur kepada ilmuan dalam pelbagai bidang pengajian agama Islam terus mempergiat aktiviti penyelidikan dan pembangunan yang memberi impak secara langsung atau tidak langsung terhadap maslahat umat Islam setempat dan peringkat serantau.
Selain memperkukuh pembangunan bidang ilmu teras tentang Islam, fakulti itu sewajarnya memperluas bidang penyelidikan yang meliputiilmu sains, insustri dan pelbagai bidang ilmu lain mengikut perspektif Islam, katanya.
“ Misalnya, peranan untuk membangun serta mempromosi Hab Halal bagi menggalakkan pelaburan peringkat domestik danserantau melalui industri pemakanan yang patuh Syariah,” katanya lagi.
Menurutnya, sebagai sebuah gedung ilmu yang terbesar di negeri ini, UMS sewajarnya menjadi sumber utama yang merancakkan pertukaran ilmu dalam kalangan cendikiawan Islam, para pelajarnya dan masyarakat Islam setempat.
“Kewujudan fakulti baharu itu dilihat lebih mempermudahkan anak-anak tempatan melalui penawaran melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi iaitu sarjana muda, sarjana dan kedoktoran, “Selain melahirkan tokoh-tokoh ilmuan Islam dalam bidang-bidang yang khusus, sudah pasti bilangan para pendakwah di negeri ini turut mengalami peningkatan pada masa depan.
Tambahnya,Fakulti baharu itu juga diharap dapat memperkukuh hubungan serta kerjasama dengan institusi keilmuan yang lain, jabatan- jabatan agama, pihak swasta dan NGO yang wujud di negeri ini.
“Usaha mewujudkan pelbagai program kerjasama, penganjuran seminar, kursus-kursus jangka pendek dan lain-lain mampu memperluas syiar Islam dan memperkukuh pengamalan nilai-nilai Islam dalam kalangan masyarakat. Faktor ini dijangka memberikan manafaat besar kepada sebilangan penduduk Islam di Sabah yang belum mendapat akses tentang pendidikan Islam sepenuhnya.
UMS juga mempunyai kelebihan dari segi kedudukannya yang strategik di rantau ini kerana lokasinya yang terletak dalam zon eksklusif pembangunan BIMP-EAGA.
Kedudukan strategik ini adalah satu peluang besar kepada pihak fakulti memperluaskan sayapnya membina hubungan dua hala melalui pakej-pekej menarik untuk mewujudkan kerjasama pintar dengan institusi berkaitan yang terdapat di beberapa buah negara jiran.
Selain itu, penyediaan peluang pengajian dan inisiatif yang bersesuaian juga mampu menarik para pencinta ilmu dari negara jiran memilih Fakulti Pengajian Islam sebagai destinasi pendidikan tinggi mereka.
Potensi ini dilihat lebih terserlah dalam kalangan anak-anak keluarga sederhana dari Bangsamoro Autonomous Region Muslim Mindanao (BARMM) yang sedang dalam proses pembangunan dan kedudukan geografi yang dekat dengan Sabah.
PAGISA turut menggesa peranan pihak kerajaan seperti KPT dan pihak UMS menyegerakan inisiatif dan sokongan infrastruktur kepada pihak fakulti untuk memacu pemerkasaan penyelidikan dan pembangunan dalam bidang yang berkaitan dangan pengajian Islam.
Kerajaan negeri, agensi kerajaanyang lain termasuk GLC dan semua pihak sewajarnya menyokong penuh sebarang usaha murni pihak Fakulti Pengajian Islam, Universiti Malaysia Sabah, katanya.