KOTA KINABALU: , Pengambilan guru secara ‘one-off’ tersebut mestilah mengutamakan kualiti bukan dengan kuantiti semata-mata bagi memenuhi keperluan guru pelbagai opsyen di sekolah- sekolah seluruh Malaysia, kata Presiden Persatuan Graduan Iranun Sabah (PAGISA), Zakaria Haji Barabag.
Katanya, rakyat Sabah perguruan sudah tentu berasa gembira dengan berita “Pengambilan Guru Secara One -Off” bagi gred DG41 dalam Kumpulan Pengurusan dan Profesional seperti yang diumumkan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia baru-baru ini.
“Pelajar dan ibu bapa juga pastinya rasa berterima kasih kepada pihak KPM dengan harapan besar kemerosotan pembelajaran yang disebabkan oleh kekurangan guru dapat diatasi dengan segera.”, tambahnya.
Zakaria berkata, pengambilan guru one-off itu bertujuan untuk memenuhi jurang kekurangan guru yang sedang berlaku di samping dapat memperkasa status daya saing pendidikan negara peringkat serantau dan antarabangsa.
Menurutnya,,Pihak KPM perlu peka dengan senario semasa, pengambilan guru kali ini sepatutnya memberikan keutamaan terhadap penduduk asal setiap negeri yang sedang kritikal mengalami kekurangan guru.
“Selain memberikan peluang pekerjaan kepada penduduk yang mencintai profesion perguruan mengikut negeri, keprihatinan ini dapat mengurangkan kemelut isu pertukaran guru yang sering berlaku dan mengurangkan kos yang melibatkan pergerakan guru-guru ke Sabah dan Sarawak.
“ Untuk mewujudkan keseimbangan di antara guru bandar dan luar bandar, anak-anak kampung yang cemerlang harus mendapat keutamaan khususnya mereka yang tidak mempunyai latar belakang ekonomi keluarga yang baik.
Katanya, graduan yang sudah terlatih dalam bidang pendidikan seharusnya diberikan keutamaan.
Di samping dapat mengurangkan kos melatih semula guru-guru yang bukan dari jurusan pendidikan, graduan dalam bidang pendidikan dilihat lebih bersedia memaksimumkan proses pengajaran dan pembelajaran di setiap sekolah yang mengalami kekurangan guru sebelum ini.
Hanya dengan kehadiran guru yang terlatih serta mencukupi di sekolah mampu menyokong pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang sesuai mengikut keperluan pelajar yang memiliki variasi keupayaan pembelajaran yang berlainan.
Selain proses pengajaran dan pembelajaran dalam kelas biasa, pengajaran yang bertujuan untuk proses pemulihan dan pengayaan juga dapat dijalankan dengan baik.
Penempatan para guru baharu itu nanti setidak-tidaknya dapat mengurangkan bebanan tugas guru- guru sedia ada yang sedang berkhidmat di sekolah-sekolah yang kekurangan guru.