PAMADA’ MINDAN AKU,
TURUGAN SU MASANANG,
SAYA IRAN BIANGUN,
MARUPAYAG KU LAUD,
PUN SAMBERA ENDU’
NA DI’ MABAYA GKAUG,
KINA BALUD A PIKIR.
GU’ KA LIMBU PAMADA’.
WALAI SINAPAK SATUR,
MAPAYAG KU KALIDAN,
UPUN PEDSAGENSEGA’,
DI’ MABAYA’ MBENGKAS,
KA BINIGKIT A KARENDEM
Angka tidak melebihi 50,000 orang sudah cukup menjadikan etnik Iranun sebagai salah satu etnik minoriti di Sabah. Jumlah ini paling sedikit jumlahnya jika dibandingkan dengan etnik Kadazandusun atau Bajau misalnya. Kajian pakar-pakar etnografi dan linguistik menjelaskan bahawa etnik Iranun berasal dari Filipina.
Namun demikian, pendapat tersebut disanggah oleh para pengkaji lainnya apabila mereka mengemukakan bukti-bukti kukuh bahawa etnik Iranun terdapat di Sabah selain di Filipina.
Bukti-bukti tersebut diperkukuhkan lagi dengan cerita-cerita rakyat Iranun di Sabah khususnya di Pantai Barat Sabah. Antaranya melalui tudtul (cerita lisan pendek yang diperturunkan dari generasi ke generasi), juga melalui ungkapan-ungkapan puisi bayuk yang melukiskan dengan jelas ciri-ciri Iranun di Sabah dan Iranun di Selatan Filipina.
Walau bagaimanapun, Iranun di Sabah (dan terdapat juga di Filipina), Maranao dan Magunidanao diklasifikasikan sebagai etnik yang berinduk kepada keluarga Danao, dan Danao ditakrifkan sebagai salah satu keluarga daripada rumpun Malayo Polinesia yang tersebar di nusantara.
Iranun merupakan etnik yang kaya dengan sastera lisan, sama ada genre prosa atau puisi. Dalam genre puisi sahaja, lebih daripada lima jenis puisi yang diketahui masih dipraktikkan oleh etnik tersebut di dalam kalangan mereka sendiri. Sastera lisan sebenarnya berfungsi sebagai penghibur, penasihat, pemberi panduan, penyampai rahsia hati dan sebagainya. Salah satu genre puisi yang paling popular ialah Bayuk, dan Bayuk itu sendiri mempunyai jenis-jenis tersendiri bergantung kepada tujuan ia dicipta dan disampaikan.
Meskipun dalam angka yang sedikit itu, etnik Iranun amat mementingkan kualiti dan kecemerlangan seseorang individu, apatah lagi jika individu tersebut berhasrat untuk menjadi pemimpin. Antara ciri-ciri pemimpin yang dianggap baik ialah seseorang itu mestilah bijak, tabah, sabar dan sebagainya. Sebagai contoh:
BAYUK A PAMADA’
Gu’ ka limbu pamada’;
Gu’ pen darenan Datu’;
bangunan sa kurintang.
Gianan man su Datu’;
matau sa dtandingan;
ka adil a mistal.
Ia den gkalimudan,
midsaripag a garing.
(Sumber: Hj Masrin Hj Hassin[2])
Sesuai dengan sifatnya sebagai bayuk a pamada’, atau bayuk pembukaan sesebuah majlis, puisi tersebut menggambarkan tentang keharmonian masyarakat ketika bernaung di bawah ketua atau pemimpin (Datu’) dalam masyarakat Iranun. Berikut adalah terjemahan secara harafiahnya:
Kata pendahuluan pun disembahkan;
Kepada Datu yang dihormati;
Di rumah besar yang cemerlang.
Dialah Datu;
Yang mahir mengadili;
Kerana kebijaksanaannya.
Yang menjadi tempat tumpuan
seluruh rakyat jelata.
Dalam masyarakat Iranun, kualiti dan kecemerlangan amat dititikberatkan demi menjamin kehidupan agar lebih cerah pada masa akan datang. Malahan tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa kualiti dan kecemerlangan diutamakan demi survival kehidupan Iranun yang sedikit jumlahnya daripada keseluruhan 2.7 juta penduduk Sabah.
Bayuk a Pamada’ itu menggambarkan suasana di rumah seorang pemimpin (Datu) yang digambarkan sebagai bangunan a kurintang (bangunan yang besar yang cemerlang), malahan Datu tersebut digambarkan sebagai matau sa dtandingan, ka adil sa mistal (bijak menghukum, arif mengadili). Dalam kata lain, keadilan merupakan kriteria utama yang dinilai untuk melayakkan seseorang itu menjadi pemimpin.
Kerana keadilan yang diperlihatkannya tanpa memilih bulu, masyarakat yang dipimpinnya akan terus memberi sokongan sehingga Bayuk di atas menggambarkan rumahnya menjadi tumpuan rakyat, yang jika dibesarkan lagi skopnya bermakna keadilan pemerintahannya telah berjaya memikat hati masyarakat.
Bayuk menjadi penterjemah seluruh utopia Iranun khususnya dalam menempuhi persaingan. Pada
masa dahulu, Iranun cukup terkenal sebagai penjelajah dan pedagang di seluruh perairan kepulauan Melayu. Realitinya, keadaan telah jauh berubah dan kegemilangan mereka sebagai orang yang mahir dalam ilmu pelayaran dan perdagangan turut pudar. Kekuatan sejarah Iranun tidak mencukupi untuk mengharung ranjau, apatah lagi dalam dunia global ini.
Malahan untuk ukuran di Sabah, menurut Pandikar Amin Mulia[3], Iranun hanya berjumlah sekitar 20,000 orang sahaja (The Iranun Of Sabah, 2011: 23). Secara khususnya, Iranun tinggal di 24 buah kampung di Kota Belud, tiga buah di Tungku, Lahad Datu dan sebuah di Kudat.
Meskipun demikian, semangat untuk mempertingkatkan kualiti dan kecemerlangan terus ditiupkan menerusi Bayuk. Mereka diingatkan bahawa kuantiti bukanlah ukuran sebenar dalam kehidupan, tetapi kualiti atau mutu yang menjadi kayu ukur sebenar dalam memajukan bangsa.
Salah satu contoh Bayuk yang sangat sinonim dengan keadaan Iranun ialah Bayuk di bawah ini:
Benar maitu’ datar, na mala’ a pangandaman Katumbar su madakel, luya susasatiman
Secara harafiah, puisi tersebut boleh diterjemahkan begini:
benar diakui kecil, tetapi sangat disegani (misalkan) ketumbar yang banyak, (dibandingkan dengan) sebiji cili padi.
Bayuk di atas jelas menunjukkan bahawa kualiti sangat dipentingkan dalam masyarakat ini. Ia melukiskan bahawa mutu kepimpinan tidak adil dinilai daripada keadaan fizikal seseorang kerana bentuk fizikal sekadar pemandangan luaran yang tidak bermakna apa-apa, berbanding dengan kekuatan mental dalam mengatur strategi dalam kepimpinan.
Demikian juga perumpamaan antara katumbar (lada besar) dan luya(cili padi) yang jauh bezanya dalam memberikan rasa pedas dalam sesuatu resepi. Katumbar yang juga dikenali dengan nama saitifiknya sebagai Capsicum annuum, merupakan sejenis sayuran hijau yang berbentuk bulat dan mempunyai warna yang sama dengan cili padi, juga di sesetengah tempat katumbar turut memberi rasa pedas tapi dalam kadar yang ringan.
Jika dibandingkan dengan cili padi yang jauh lebih kecil, sudah tentulah katumbar dilihat lebih kuat kerana bentuk fizikalnya yang berpuluh kali lebih besar daripada cili padi. Tetapi dari segi kepedasan dan memberi rasa dalam masakan, ‘kewibawaan’ sebiji cili padi hanya dapat ditandingi dengan sekian banyaknya katumbar.
Kerana itu, setiap ibubapa dalam Iranun mengharapkan agar generasi yang mereka lahirkan menjadi insan yang cemerlang. Malahan untuk menuju ke arah itu, sebagai ibubapa mereka memutuskan perkara yang terbaik buat si anak yang masih kecil.
Makala’ man si atu’,
di’ ku saya imbarai, matag lulus a bakau,
saya ku ipembarai, ku tambiatan ku palau
ka sumalindau su ulan, kasalindawan kami
dtetenged-tenged minsan.Makaiseg-iseg man,
di’ ku saya imbarantan, sa pureg sa pagilidan,
saya ku imbarantan, sa kalipapa sa bukelud
ka sumaleg su alungan, kasalegan kami
ndidilusud sa tian
Terjemahan:
kelak bila kau menjadi remaja,
tidak akan kuletakkan kau, pada kekuatan bakau
tetapi aku letakkan kau pada tambiatan di bukit-
bulan menyinar, kami turut diterangi sinarannya
apatah lagi kami rapat dengannya(bila kau dewasa) sejenak lagi,
tidak akan kuserahkan kau pada pureg di pinggir jalan
tetapi kuserahkan kau, pada kalipapa di gunung-
agar jika suria memancar, kami turut merasa hangatnya
patah lagi kami sesaudara kandung
Bakau dan pureg merupakan jenis kayu yang baik namun apabila digunakan sebagai bahan perkakasan rumah dalam tempoh yang panjang, kayu tersebut akan reput. Tambiatan dan kalipapa merupakan kayu yang tahan uji dan ia menjadi pilihan untuk membuat rumah.
Kerana sifatnya yang tahan lama, si pemilik rumah atau tukang rumah terpaksa menempuhi onak duri untuk ke bukit bagi mendapatkannya. Begitu juga simbol bulan dan matahari/suria yang dinukilkan di dalam puisi ini yang juga turut digunakan sebagai lambang kecemerlangan dan kegemilangan pemimpin.
Penyair atau pencipta puisi ini amat mengharapkan agar anaknya menjadi orang yang berguna kepada keluarga dan sanak saudaranya khususnya, serta kepada masyarakat dan negaranya. Salah satu hal yang membantutkan kecemerlangan ialah sikap tidak dapat melaksanakan tugas yang diberi, khususnya yang melibatkan kepentingan masyarakat. Sikap ini menjadi batu penghalang bagi masyarakat untuk mempercayai pemimpin:
Lumalabu’ su kapal;
sa di’ kaludan di’ kilid;
da’ man a gkalabu’an;
pasudan man ku malim;
kalalagan ku lalung.
Ma’ampir su galilah;
sa di’ laud di’ dedsa’an;
da’a gkabarantanan;
puku’ ku jurubasa;
dupang ku maungangen.
Kapal yang berlabuh;
bukan di lautan tidak di tepian;
tak bertempat untuk berlabuh;
kerana si malim;
cerdik dalam dungu.
Ghali membongkar sauh;
bukan di laut tidak di pesisiran;
tiada tempat merapat;
berpunca jurubahasa;
bodoh dalam bijaksana.
Iranun sinonim dengan dunia perkapalan pada abad dahulu, terutama di perairan nusantara. Malim dan jurubahasa merupakan dua jawatan yang saling berkaitan dan perlu berhubung rapat semasa pelayaran. Malim atau mualim menurut Adrian B Lapian adalah pandu laut yang membawa kapal (2008: 73).
Orang yang diamanahkan untuk tugas ini serta merta bertanggungjawab ke atas kapal dan memastikannya berada dalam kedudukan yang tepat, dan secara tidak langsung memastikan semua yang berada di dalam kapal berada dalam keadaan baik. Sementara Jurubahasa berfungsi sebagai penterjemah sesuatu bahasa terutamanya untuk kelancaran komunikasi semasa melakukan transaksi dan lain-lain.
Oleh itu, tidak hairan jika kapal sering dijadikan metafora bagi sesebuah masyarakat yang dinamik dan sudah tentu dalam sesebuah masyarakat perlukan ketua (malim, mualim)dan pembantu ketua yang baik untuk bagi memastikan negeri atau negara yang didiami oleh mereka berada dalam keadaan baik dan terus makmur.
Bayuk ini menyiratkan salah satu ciri yang tidak seharusnya ada bagi pemimpin. Seorang pemimpin yang baik mesti tahu menjalankan tugas yang diamanahkan dengan sempurna serta harus mempunyai ilmu, sifat rendah diri kepada orang yang lebih tahu dan pemimpin seharusnya belajar terus menerus.
Semangat cintakan bangsa dan tanahair sekaligus menjadi orang yang pertama tampil ke hadapan dalam mempertahan kedaulatan amat dipentingkan, dan ciri-ciri ini perlu ada bagi seorang pemimpin supaya menjadi contoh kepada masyarakat yang dipimpinnya. Masyarakat sentiasa memerhati tindak laku pemimpin terutama bagaimana ia mempertahankan maruah negara, atau maruah mereka yang menjadi pengikutnya.
Dalam Iranun, menjaga maruah merupakan suatu kewajiban, apatah lagi jika bersangkutan dengan keluarganya, bangsanya, masyarakatnya, tempat (negara) yang didiaminya dan kepentingan umum.
Upun ya sumagad;
su ikaina’ ikada’;
a ikageled a bangsa
a ikalanyap a ngaran:
sarigka, mananguntaman aku;
ka dapai u malab aku;
na di’ aku run kadawaian;
ku midsaripag a garing.
Jika berlaku;
keadaan yang menghinakan, menghilangkan;
dan menenggelamkan bangsa;
lalu melenyapkan maruah:
percayalah, aku akan bermati-matian;
walau maut menjemputku;
tindakanku tak akan dipersoalkan;
oleh sesiapa pun.
Bayuk tersebut mengungkapkan pembelaan kepada bangsa andai maruah bangsa dihina atau tercabar. Sebagai pemimpin, tiada jalan mundur dalam menegakkan kebenaran malah jika sesuatu yang buruk terjadi ketika ia berada dalam landas perjuangannya, ia tetap berbangga kerana menurutnya pengorbanan tersebut dipandang mulia demi mempertahankan martabat bangsa dan negara.
Apapun, setiap tindakan dan rancangan perlulah didahului dengan kajian dan penyelidikan yang lebih dalam dan rapi supaya ia dapat diterima oleh masyarakat secara umumnya. Perancangan yang teliti biasanya membawa natijah yang baik dan cemerlang.
Dalam bayuk pada permulaan makalah ini, seorang ketua diibaratkan sebagai rumah yang indah dan berhalaman luas, yang dari arahnya kelihatan samudera dan lukisan samudera itu tentulah juga gambaran pemimpin yang berfikiran luas. Angin dan badai adalah gambaran gejala dan pancaroba yang sentiasa mengintai peluang untuk merobohkan perpaduan yang dibina, tetapi oleh kerana rumah tersebut diperkukuhkan oleh fikiran dan kebijaksanaan, maka ia sukar ditumbangkan.
Aku ingin bermadah;
dari rumah mereka yang berbangsa;
yang mereka bangunkan;
berlatar keindahan lautan;
jika (rumah ini) diuja angin;
ia kekal bertahan;
(kerana) diperkuatkan oleh fikiran.
madah ini kuungkapkan;
dari rumah mereka yang berketurunan;
berlatarkan keluasan samudera;
walaupun rumah ini diserang badai gelora;
strukturnya tak akan berubah;
(kerana) diperkukuh oleh sifat bijaksana.
Nota kaki
*Bayuk merupakan salah satu genre puisi lisan dalam khazanah kesusasteraan Iranun. Ia terbahagi
kepada 35 jenis bayuk antaranya Bayuk a Ilat (Kiasan), Pamada’ (kata-kata pendahuluan), Usiat (nasihat) dan Bangsa.
- Hj Masrin Hj Hassin merupakan Pengerusi Persatuan Bahasa dan Kebudayaan Iranun (BKI), juga merupakan bekas OKK (Ketua Daerah) Kota Belud. Sebahagian besar bayuk yang digunakan dalam makalah ini adalah ihsan dari beliau. Semua terjemahan Bayuk ini adalah terjemahan penulis.
- Pandikar Amin Mulia (Tan Sri), Yang Dipertua Dewan Rakyat Malaysia ke-8
BIBLIOGRAFI
Adrian B. Lapian, 2008. Pelayaran dan Perniagaan Nusantara Abad Ke-16 dan 17. Jakarta: Komunitas Bambu.
Datu Bandira Datu Alang, 1992. Iranun: Sejarah dan Adat Tradisi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
James U.H. Chin, Karla J. Smith (Editor), 2011. The Iranun of Sabah: Language and Culture of an
Endangered Minority in Sabah. Subang Jaya: Pelanduk Publication.
Howard P. McKaughn, Haji Masrin Hj Hassin, 1998. Bayuk from the Iranun of Sabah, Malaysia
(Preliminary version). Kota Kinabalu: Institut Linguistik (SIL)