NAMANYA pernah menjadi fenomena suatu ketika dahulu apabila menjadi satu-satunya penyanyi
Iranun yang merakamkan album lagu-lagu Iranun. Iaitu sekitar tahun 90-an.
Sehingga kini, Josman ataupun dengan nama pentasnya dikenali Putik, masih terus diingati malah
lagu-lagunya juga malar segar dikalangan peminat lagu-lagu Iranun.
Sedekad sudah berlalu, biarpun tidak lagi menghasilkan album dan kelihatan dimana-mana majlis mendendangkan lagu-lagunya, minat mendalam terhadap bidang nyanyian tidak pernah luntur. Malah sentiasa bersemangat menghasilkan lagu-lagu Iranun demi kecintaannya terhadap bahasa ibundanya ini.
“Menyanyi sudah sebati dalam diri saya sejak dahulu lagi, ketika dibangku sekolah. Niat untuk terus memartabatkan seni hiburan masyarakat Iranun tidak pernah padam.”
“Jika sekali lagi saya diberi peluang (untuk merakamkan lagu ataupun album), saya akan rasa sangat bersyukur. Saya tidak punyai minat lain selain daripada menyanyi,” katanya lagi.
Bagaikan bulan jatuh ke riba, hasratnya itu akhirnya tercapai apabila pada awal tahun ini, sebuah lagu ciptaanya berjudul Talad Ah Pidsapan dirakam dengan sentuhan muzik yang baharu. “Talad Ah Pidsapan adalah lagu ciptaan saya sendiri.
Pada mulanya ianya hanya untuk hiburan, tapi atas permintaan ramai saya pilih untuk rakamkan,” katanya lagi. “Saya merasa gembira dan berpuas hati apabila lagu ini mendapat sokongan dan terus diminati oleh semua semua lapisan masyarakat,” tambahnya lagi.
Lagu ini telah pun mencecah lebih 5 ribu tontonan sejak dimuat naik dalam saluran Youtube lebih
enam bulan lalu. Ia sesuatu yang tidak dijangka.
Sebagai rekod, Putik yang juga dikenali sebagai Star Iranun pernah muncul dengan album penuh lagu-lagu Iranun sekitar tahun 1994. Kemudian, kerana kekangan kewangan yang tidak mampu membayar bayaran rakaman di studio, album seterusnya menemui jalan buntu hingga tidak dapat diterbitkan.
Album itu sebenarnya dirakam pada tahun 1992 hanya dapat dipasarkan pada tahuun 1994. Mengandungi 10 buah lagu dengan judul Anda Ku Pelubaah Sambih Ku Rekah yang mengambil tiga judul lagu dalam album terbabit.
“Saya merasa bangga apabila melihat kemunculan generasi baru dalam bidang nyanyian lagu-lagu
Iranun. Harapan saya supaya akan lebih ramai lagi generasi Iranun berminat dan berusaha menghasilkan lagu-lagu Iranun sehingga mampu bersaing dengan suku kaum lain yang ada dinegeri ini, katanya mengakhiri perbualan.