Cogan kata ‘Bahasa Jiwa Bangsa’ ada benarnya. Tiga patah perkataan itu mengandungi maksud yang amat mendalam, khususnya dalam menentukan jati diri sesebuah bangsa dan bagaimana bangsa itu melihat dunia dan bagaimana dunia pula melihatnya.
BKI (Persatuan Bahasa dan Kebudayaan Iranun Sabah) menyedari hakikat itu. Salah satu langkah awal persatuan itu setelah penubuhannya lebih sedekad lalu adalah memperkasakan bahasa Iranun dengan menganjurkan bengkel-bengkel cara menulis dan mengeja bahasa Iranun, seterusnya menulis buku-buku zine berisi cerita rakyat Iranun.
Menurut Setiausaha Agung persatuan itu, Ismail Sidik, usaha merekodkan kembali cerita rakyat itu dengan menggunakan bahasa Iranun adalah bagi memastikan supaya khazanah bangsa yang amat bernilai itu dapat dipertahankan, seterusnya diketahui dan dikuasai oleh generasi baru.
“Buku ini juga merupakan sebahagian bahan bacaan untuk kanak-kanak Taska Warisan Iranun di Payas-Payas, Merabau, Rampayan Laut dan Indarason Laut. Jika seseorang tidak biasa dengan ejaan bahasa Iranun, sudah pasti mereka mengalami kesukaran ketika membacanya,” katanya bersahaja.

BKI tubuhkan Taska Warisan Iranun di Indarason Laut, Kudat
Mengimbas kembali usaha memperkasakan bahasa Iranun, Ismail menjelaskan bahawa idea tersebut adalah datang daripada penaung BKI sendiri, Tan Sri Pandikar Amin Mulia. Kata Ismail lagi, Pandikar begitu komited dalam memperjuangkan bahasa etnik di Sabah selain daripada bahasa ibundanya sendiri.
Tambah Ismail, Pandikar telah berusaha sedaya upaya mencari dana bagi membina bangunan BKI di.Payas-Payas yang seterusnya dijadikan Taska Warisan Iranun pada 1998, diikuti oleh Taska Warisan di tiga buah kawasan semata-mata ingin melihat bahasa Iranun tidak pupus.
“Agar kami lebih percaya bahawa bahasa etnik boleh diajar di sekolah-sekolah, Tan Sri Pandikar berusaha menghantar saya dan Pengerusi BKI, Hj.Masrin Hj Hassin ke New Zealand untuk membuat lawatan singkat ke sekolah Maori, iaitu sekolah Te Puna Reo o Nga Maungarongo.
“Di sana kami didedahkan dengan cara-cara menguruskan sekolah yang menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar. Sekembalinya ke Sabah, kami mengaplikasikan cara sekolah Maori itu yang kami sepadukan dengan cara kita di sini, atas bantuan sebuah NGO antarabangsa,” jelas Ismail.
Menurut Ismail lagi, Taska Warisan Iranun Payas-Payas telah dijadikan model oleh DBNA Sarawak bagi membina sekolah Bidayuh di Sarawak, malahan Taska Warisan Iranun turut dijadikan pusat kursus keguruan sekolah-sekolah etnik Tobilong, Kimaragang, Rungus, Lotud dan Bajau.
Selain New Zealand katanya, Pandikar turut membawa BKI ke Thailand bagi menghadiri sebuah simposium kebudayaan, selain di Kuching, Pulau Pinang bagi simposium serupa serta Belitong dan Jambi di Indonesia bagi menelusuri generasi nenek moyang orang Iranun yang terlibat dalam perang menentang kolonial Belanda pada penghujung 1800.

Persembahan kebudayaan Iranun di Tanjung Pandan Belitong

Bergambar di Rumah Bupati Tanjung Jabung Timur dalam kunjungan budaya ke Jambi Indonesia

Rombongan BKI bergambar di Rumah Adat Bangka Belitung

BKI mengadakan persembahan dalam kunjungan ke Kanada

Pertemuan Iranun Nusantara di Likas Square Kota Kinabalu
“Jasa Tan Sri Pandikar tidak ternilai harganya dalam pembangunan bahasa ibunda. Bukan sahaja memperjuang bahasa bangsanya, Iranun, tetapi juga Tan Sri turut memperjuangkan bahasa etnik lain. Saya masih ingat, Tan Sri pernah mengusulkan agar kerajaan pusat membantu memperkasakan bahasa dan budaya etnik. Hal ini diluahkannya kepada Dr Mohd Fuad Zarkashi yang menjadi Menteri Pendidikan ketika itu.
“Saya juga bagi pihak rakan-rakan etnik.lain di Sabah turut menerima baik manifesto USNO yang dilancarkan baru-baru ini di Hotel Courtyard 1 Borneo. Dalam manifesto itu, Tan Sri ada menyebut akan mempertahan warisan etnik dengan cara membina sekolah etnik menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar,” ujar Ismail.
Demi.memperkasakan bahasa ibunda, BKI setakat ini telah bekerjasama dengan SIL Malaysia, UMS, DBP Cawangan Sabah dan Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS). Dengan kerjasama LKNS, BKI setakat ini telah melahirkan buku Inventori Iranun dan Kosa Kata Iranun.